
DRAMA politik di dalam Bersatu semakin melucukan apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi alasan bahawa Datuk Sri Dr. Ronald Kiandee tidak dipecat kerana kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Beluran itu tidak seserius Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Muhyiddin berkata walaupun Kiandee hadir dalam pertemuan dengan presiden United Malays National Organisation (Umno), Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand, Hamzah didakwa mengetuai rundingan bagi membentuk konfigurasi politik baharu tanpa kelulusan kepimpinan tertinggi parti.
Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Kuala Lumpur, Muhyiddin menjelaskan bahawa kes Hamzah berbeza kerana beliau didakwa pergi berunding tanpa kebenaran Majlis Tertinggi parti.
“Kes Hamzah jelas. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, beliau pergi berunding tanpa kelulusan Majlis Tertinggi. Itu melanggar perlembagaan parti,” kata Muhyiddin.
Dengan keputusan itu, Bersatu menambah senarai ahli Parlimen parti itu yang dipecat atau digantung. Sebelum ini Hamzah bersama lima lagi ahli Parlimen dipecat manakala Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati digantung bersama dengan Kiandee.
Sebenarnya sama ada memecat dan menggantung sama sahaja, Muhyiddin tetap tidak mempunyai sokongan dalam Bersatu. Demi satu demi AJK bahagian meletak jawatan di seluruh negara dan dengan 13 ahli Parlimen termasuk Kiandee dan Mas Ermieyati menyatakan sokongan kepada Hamzah untuk Ahli Parlimen Larut itu kekal sebagai Ketua Pembangkang, ia menampakkan betapa rapuhnya cengkaman Muhyiddin dalam Bersatu.
Penulis percaya 13 orang ahli Parlimen tidak akan mengubah pendirian mereka untuk bersama Hamzah. Sebaliknya Bersatu harus bersedia untuk kehilangan kesemua atau sebahagian kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-16.
Pada masa sama Pas pula kemungkinan besar akan mengambil semula kerusi Parlimen yang mereka berikan kepada Bersatu memandangkan ada Ahli Parlimen yang menyandangnya dipecat Bersatu.
Oleh kerana Kiandee dan Mas Ermieyati telah digantung maka mereka bebas membuat apa juga keputusan termasuk yang bertentangan dengan keputusan Bersatu dan berhak mengkritik parti itu. Malang sekali, ketika parti-parti lain sedang giat melaksanakan pelbagai program dan perancangan bagi menghadapi PRU-16, Bersatu pula masih berantakan.
Keadaan dalam Bersatu akan semakin kacau apabila mesyuarat membincangkan ketua pembangkang diadakan pada 14 Mac ini. Sudah pastilah Bersatu akan menentang pencalonan Hamzah sebagai menduduki jawatan itu.
Bagaimanapun keputusan memilih Ketua Pembangkang tidak semestinya ‘terkunci’ di peringkat Majlis Presiden. Jika suara majoriti ahli Parlimen PN mahukan Hamzah, adakah Majlis Presiden akan menolak?
Seperkara lagi dengan kemelut yang berlaku dalam Bersatu sehingga Hamzah disokong oleh 13 ahli Parlimen parti itu selain lima lagi yang dipecat serta enam lagi ahli Parlimen asal Bersatu sudah pasti pengundia di Dewan Rakyat adalah cara terbaik. Lagipun Pas masih selesa dengan bekas Menteri Dalam Negeri itu.
Kalau Muhyiddin tidak bersetuju dengan Hamzah, beliau boleh calonkan seorang ahli Parlimen Bersatu untuk melawan Hamzah bagi jawatan Ketua Pembangkang tetapi siapa yang ada? Khabarnya Ahli Parlimen bersama dengan Muhyiddin tidak sampai tujuh orang, betul ke?
Jika Muhyiddin tetap berkeras walaupun dalam peraturan tidak ada halangan ahli Parlimen Bebas menjadi Ketua Pembangkang maka pilihan terakhir ialah melantik Pengerusi PN, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas menduduki jawatan itu.
Ia memandangkan selain Hamzah, hanya Ahmad Samsuri paling layak. Tiada apa perlu dirisaukan Pengerusi PN tidak semestinya calon PM, Ketua Pembangkang tidak semestinya calon PM dan ‘Muhyiddin bukan lagi calon PM PN’.
Hakikatnya langkah politik Bersatu semakin sumbang, justeru adalah lebih baik bagi menghadapi PRU-16, Bersatu melakukan langkah drastik bagi memberi nafas baru kepada parti tersebut dengan melantik Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘Panglima perang’ untuk Bersatu.
Beliau jauh lebih berpengalaman sama ada dalam politik atau pentadbiran berbanding Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Bagi melaksanakan tanggungjawab itu, Azmin harus dilantik menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden manakala Dr.Radzi sebagai Setiausaha Agung.
Terserahlah kepada Bersatu khususnya Muhyiddin untuk membuat perhitungan.Lagipun orang pun dah tak peduli apa yang Bersatu mahu lakukan kerana Pas semakin terserlah manakala UMNO sedang berusaha memperkukuhkan kembali kedudukannya.


