PERDASAMA gesa  PBT,GLC contohi langkah DBKL beri potongan sewa

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menyifatkan  keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan potongan 50 peratus gerai, premis, tapak penjaja dan pasar milik DBKL sebagai langkah membantu rakyat dan peniaga kecil menghadapi tekanan kos sara hidup.

Presiden PERDASAMA Mohd Azamanizam Baharon berkata, langkah yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, Hannah Yeoh itu merupakan  satu inisiatif yang amat tepat pada masanya.

‘’Ia  khususnya dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah, serta tekanan inflasi yang memberi kesan langsung kepada komuniti perniagaan kecil dan sederhana,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

 Beliau berkata, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan, Malaysia kini mempunyai lebih 1.08 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi 96.1 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan di negara ini.

‘’Daripada jumlah tersebut, sekitar 70 peratus adalah perusahaan mikro, yang merupakan golongan paling terdedah kepada kenaikan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi semasa,’’ katanya.

Dalam masa yang sama, kata beliau, sektor PMKS kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM652.4 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2024, menunjukkan peranan kritikal sektor ini dalam menjana peluang pekerjaan, memacu aktiviti ekonomi domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Sehubungan itu, tegas Mohd Azamanizam, PERDASAMA menggesa agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara mencontohi langkah progresif yang diambil oleh DBKL  dengan mempertimbangkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan, tapak penjaja, lesen perniagaan serta kemudahan pasar awam bagi tempoh tertentu,’’ katanya.

Selain itu, kata beliau PERDASAMA turut mencadangkan agar agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memiliki premis komersial seperti Majlis MARA) dan UDA Holdings Berhad mengambil langkah proaktif dengan menawarkan diskaun khas atau moratorium sewa kepada peniaga kecil, khususnya dalam kalangan usahawan Bumiputera dan PMKS yang beroperasi di premis-premis milik agensi tersebut.

‘’Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, PERDASAMA juga berpandangan bahawa kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan satu Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat yang lebih bersasar, dengan fokus kepada membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

‘’Ia boleh dilakukan melalui penyediaan dana pembiayaan mudah akses dan kadar rendah kepada PMKS, skim bantuan sementara bagi menampung kos sewaan premis perniagaan dan operasi asas, geran peningkatan produktiviti dan pendigitalan bagi membantu PMKS meningkatkan daya saing dan program pengukuhan rantaian bekalan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan mentah,’’ katanya.

Mohd Azamanizam berkata, PERDASAMA percaya bahawa melalui pendekatan kolaboratif antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT, agensi kerajaan serta sektor swasta, negara mampu memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan kecil yang menjadi nadi kepada ekonomi domestik.

‘’PERDASAMA juga yakin bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gagasan Ekonomi MADANI, kerajaan mempunyai keupayaan untuk mengemudi negara melalui cabaran ekonomi global dengan dasar yang inklusif, pragmatik dan berpaksikan kesejahteraan rakyat serta kemampanan sektor perniagaan.

‘’Langkah-langkah seperti yang diumumkan oleh DBKL ini membuktikan bahawa pendekatan dasar yang responsif dan berpihak kepada ekonomi rakyat mampu memberikan kelegaan segera kepada komuniti peniaga kecil, di samping memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img