RATUSAN peserta flotila Gaza yang ditahan dilaporkan mengalami keganasan melampau, penghinaan seksual dan kecederaan serius selepas bot mereka diserbu tentera Israel, menurut kumpulan hak guaman Adalah.
Peguam Adalah berkata mereka melawat Pelabuhan Ashdod pada petang Rabu dan memberikan khidmat nasihat guaman kepada ratusan tahanan. Bagaimanapun, pasukan guaman itu tidak dibenarkan bertemu semua tahanan berikutan sekatan ketat yang dikenakan pihak berkuasa Israel.
Peguam turut mendakwa berlaku pelanggaran sistematik terhadap proses perundangan serta layanan buruk meluas oleh pihak berkuasa Israel sepanjang dan selepas serbuan dilakukan.
Menurut Adalah, tahanan melaporkan corak keganasan fizikal melampau ketika serangan berlaku. Sekurang-kurangnya tiga aktivis memerlukan rawatan hospital sebelum dibebaskan.
Pasukan guaman itu turut mendokumentasikan puluhan kes disyaki patah tulang rusuk dan masalah kesukaran bernafas. Ramai tahanan mendakwa mereka dipukul, dikenakan renjatan elektrik menggunakan Taser dan ditembak peluru getah ketika pintasan di laut serta semasa dipindahkan ke kapal tentera dan Pelabuhan Ashdod.
Adalah juga mendakwa tentera Israel memaksa tahanan berada dalam posisi yang menyakitkan. Aktivis diarahkan berjalan dalam keadaan membongkok sambil belakang mereka ditekan oleh pengawal. Sebahagian lagi dipaksa duduk berlutut dalam tempoh lama di atas bot.
Pasukan peguam berkata tahanan turut melaporkan berlaku penghinaan melampau, gangguan seksual dan penghinaan berunsur seksual ketika dalam tahanan.
Peserta wanita mendakwa tudung mereka ditanggalkan secara paksa oleh anggota keselamatan Israel. Peguam menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada corak penghinaan dan penderaan yang lebih meluas.
Laporan itu muncul tidak lama selepas Menteri Keselamatan Negara Israel yang dianggap menteri paling jahat dan kejam, Itamar Ben-Gvir, menyiarkan video memaparkan aktivis flotila yang ditahan dalam keadaan tangan diikat, mata ditutup dan dipaksa berlutut di Pelabuhan Ashdod.
Rakaman itu mencetuskan kecaman antarabangsa. Beberapa negara termasuk Belgium, Itali, Perancsi , Ireland, Kanada, Sepanyol dan Portugal memanggil duta Israel masing-masing serta menuntut penjelasan berhubung layanan terhadap rakyat mereka.
Pegawai dari beberapa negara Eropah dan antarabangsa turut menyifatkan imej berkenaan sebagai memalukan dan melanggar maruah asas manusia, selain mendesak pembebasan segera rakyat mereka yang ditahan.


