SETIAUSAHA Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dalam struktur kepimpinan tertinggi gabungan itu yang diumumkan hari ini.
Ketika mengumumkan perkara itu selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Kuala Lumpur, Pengerusinya Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Takiyuddin menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan.
Beliau turut mengumumkan perubahan bagi jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang sebelum ini disandang oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini dipertanggungjawab kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr.Radzi Jidin.
Manakala Sanusi pula menggantikan Ahmad Samsuri sebagai Bendahari Agung PN.
Bagi jawatan Ketua Penerangan yang kosong berikutan pelantikan Radzi, ia diisi oleh Tan Sri Annuar Musa.
Selain itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Beliau akan menggalas jawatan itu bersama tiga Presiden lain iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Mohamed Azmin pula dilantik Timbalan Setiausaha Agung bersama Wong Chia Zhen (Gerakan) dan Datuk Sivakumar Krishnan (MIPP).
Ahmad Samsuri berkata, jawatan Ketua Wanita PN turut menyaksikan perubahan apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin digugurkan selepas digantung keahlian selama dua penggal sebagai ahli Bersatu.
”Tempat beliau diambi alih oleh Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi manakala Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden kekal Ketua Pemuda PN,’’ katanya.


