PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri susulan krisis kepimpinan didakwa melanda pentadbiran sedia ada.
Ketua Pembangkang, Mohd Hanifah Abu Baker berkata, lima ADUN PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan mereka.
“Sehubungan itu, lima ADUN Negeri Sembilan daripada PN sedia bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
“Ia bagi membangunkan Negeri Sembilan serta menjamin kesejahteraan rakyat,” kata ADUN Labu itu dalam sidang media yang disiarkan dalam talian.
Terdahulu pagi ini, 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
Jalaluddin berkata, beliau bersama 13 lagi ADUN yang mewakili BN amat dukacita dan kecewa dengan krisis itu.
Hanifah dalam pada itu berkata, tindakan diambil susulan kemelut politik melanda Negeri Sembilan sejak beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat pentadbiran yang stabil dan berkesan, namun krisis berlarutan itu menyebabkan sidang DUN terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
“Kami kesal kerana krisis ini terus berlarutkan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri, sehingga sidang DUN terpaksa ditangguhkan.
“Ini membuktikan Aminuddin gagal menangani krisis secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberitahu, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kenyataan Pergerakan UMNO dan BN Negeri Sembilan itu daripada pucuk pimpinan parti.
Menurut beliau, perkara itu juga akan dirujuk kepada Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya akan merujuk kepada Pengerusi BN sebab mereka (UMNO Negeri Sembilan) baru sahaja membuat kenyataan tersebut.
“Dari segi maklumat lanjut, saya akan dapatkan. Saya tidak akan mengulas lagi buat masa ini, sampai saya dapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Media Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) Antara Malaysia dan Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.


