PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan rundingan kedua dengan Menteri Luar Iran bagi menzahirkan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap situasi konflik di Asia Barat yang disifatkan semakin kompleks.
Beliau berkata, dalam rundingan tersebut, beliau menekankan kepentingan untuk memastikan ketegangan yang berlaku tidak melarat sehingga mencetuskan pertempuran atau pertikaian sesama negara Islam.
Menurut beliau, setakat ini pihak Iran telah memberikan jaminan yang cukup besar bahawa situasi tersebut tidak akan membawa kepada pertembungan bersenjata antara negara-negara Muslim.
“Dalam komunikasi saya pada pusingan kedua nanti dengan Menteri Luar Iran, saya nyatakan (kebimbangan) itu. Saya menghargai hakikat bahawa mereka telah memberikan jaminan yang cukup besar bahawa ia tidak seharusnya membawa kepada pertempuran sesama negara Islam.
“Ia adalah satu situasi yang sukar dan kompleks. Apabila sesebuah negara terpaksa berhadapan dengan paparan keangkuhan yang tidak munasabah ini, adalah sukar untuk meminta mereka berdiam diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran di Putrajaya, hari ini.
Mengulas mengenai serangan rejim Israel ke atas Republik Islam Iran, Anwar menyelar tindakan tersebut sebagai satu bentuk ‘keangkuhan’ yang nyata dengan sokongan padu daripada Amerika Syarikat (AS).
Ujar beliau, pencerobohan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada Iran, malah impaknya kini mula dirasai di seluruh pelosok dunia Islam termasuk di Arab Saudi, Turkiye sehingga ke Azerbaijan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita, atas dasar ikatan persahabatan yang kuat bukan sahaja dengan Iran tetapi dengan semua negara ini termasuk Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman, Jordan dan Turkiye untuk memastikan konflik ini dapat diselesaikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Parlimen Malaysia atas sokongan bipartisan daripada semua ahli Parlimen dalam mengutuk serangan terhadap Iran.
Beliau juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Imam Ayatollah Ali Khamenei atas kehilangan yang dialami ekoran serangan berkenaan.
Anwar turut memaklumkan, beliau sentiasa berhubung rapat dengan barisan pemimpin dunia termasuk melalui perbincangan berterusan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi mencari jalan penyelesaian yang tuntas terhadap kemelut tersebut.


