MIC diterima sebagai parti komponen terbaharu dalam PN

PERMOHONAN parti MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sudah diluluskan dalam mesyuarat yang diadakan Sabtu lalu, menjadikan gabungan berkenaan kini dianggotai lima parti.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan menyampaikan surat rasmi kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran malam ini berhubung kemasukan parti itu.

DATUK Seri Takiyuddin Hassan

“Saya sahkan untuk berjumpa dengan Presiden MIC malam ini untuk menyerahkan surat rasmi bahawa mereka diterima sebagai parti anggota PN.

“Kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak PAS Kota Bharu di Kota Bharu, hari ini, lapor BH.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut memaklumkan, lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai PN.

Katanya, permohonan itu menyaksikan pimpinan baru PN lebih inklusif memandangkan pelantikan jawatan diberikan adalah menyeluruh membabitkan pelbagai parti.

“Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah Pas dan Bersatu, namun kini menyeluruh. Malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin akan diberi jawatan.

“Sekarang ini selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga buka kepada NGO dan ahli bersekutu.

“Dalam PN ada tiga kategori iaitu parti anggota, ahli bergabung iaitu NGO atau parti yang mesra kepada PN dan ahli bersekutu terdiri daripada individu,” katanya yang enggan menamakan lima parti berkenaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img