Ibu tiga anak didenda RM3,000 curi barang kemas dalam hospital

SEORANG ibu kepada tiga anak didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan mencuri barang kemas pesakit yang sedang menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, minggu lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Aisyah Rusly, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri seutas rantai leher emas berserta loket, seutas gelang tangan emas, seutas gelang kaki emas dan sepasang subang emas milik seorang wanita berusia 56 tahun.

Perbuatan itu dilakukan pada 13 Mac 2026, jam 4.30 petang hingga 6.30 petang di zon hijau HTJ.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 379 kanun keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Razqeeyanur Sarini Salzali memaklumkan yang tertuduh memohon denda yang minimum kerana dia telah dibuang kerja selain perlu menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 11 tahun.

Katanya, tertuduh memohon maaf atas kesalahan dilakukan dan mengakui terjebak dengan hutang ah long, menyebabkan tertuduh terdesak dan tiada pilihan lain.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.

Mengikut fakta kes, pengadu mendapati barang kemas miliknya yang disimpan di dalam beg plastik ketika menerima rawatan di zon hijau hospital telah hilang.

Pengadu kemudian membuat laporan polis dan tertuduh telah ditahan sehari kemudian iaitu pada 14 Mac lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img