SEORANG bayi perempuan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam baldi di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang di Seremban petang semalam.
Bayi berusia 11 bulan itu disedari berada dalam keadaan terlangkup di dalam baldi berisi air kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, polis menerima laporan berhubung kematian bayi itu pada jam 7.22 malam tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi itu diasuh neneknya bermula jam 9 pagi pada hari kejadian sementara ibu dan bapa bayi keluar bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yatim berkata, kira-kira jam 2.30 petang, mangsa dibiarkan tidur di dalam buaian sementara neneknya memasak dan menjemur pakaian.
“Tidak lama selepas itu, neneknya menyedari mangsa sudah tidak berada di dalam buaian dan selepas mencari, dapati mangsa di dalam sebuah baldi yang berisi sedikit air sabun di halaman belakang rumah dalam keadaan kepala di bawah,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
“Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia di hospital oleh pegawai perubatan pada jam 4.30 petang.
“Bedah siasat dijalankan pada jam 1 pagi tadi namun punca kematian masih dalam siasatan atau pending lab nvestigation,” katanya.
Berikutan kejadian itu, seorang wanita berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor R Sinniah di talian 06- 603 3222,” katanya.


