Pelancong wanita didenda RM3,000 tendang anggota polis

PELANCONG wanita warga Jerman didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Jenayah George Town hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis, Januari lalu.

Schlefsky Theresa, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita terbabit didapati telah melakukan kekerasan jenayah dengan cara menendang perut Lans Koperal Nurfarhanah Mohd Johdi dengan niat menghalang anggota dari Balai Polis Central daripada menjalankan tugasnya secara sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai kopi di Daerah Timur Laut pada kira-kira jam 6.30 petang, 14 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin manakala tertuduh diwakili peguam, K Sagana.

Peguam tertuduh dalam rayuan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang kini tidak bekerja melancong bersendirian ke Malaysia dan mempunyai sejarah penyakit skizofrenia sejak berusia 16 tahun dan perlu mengambil ubat secara berkala.

“Tingkah laku tertuduh pada hari kejadian adalah impak daripada tidak mengambil ubat secara konsisten. Selepas keadaannya stabil dia sangat menyesal dan memohon maaf kepada mangsa dan pihak berkuasa.

“Tertuduh juga berkata dia tidak berniat melanggar undang-undang di negara ini. Bapa dan kakaknya turut hadir dalam prosiding hari ini dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan ahli keluarga mereka,” katanya.

Sagana kemudiannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda mengambil kira faktor kesihatan mental tertuduh, manakala pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengalami kesalahan sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img