SEORANG wanita yang baru menamatkan pengajian di sebuah kolej tempatan, didenda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas empat kesalahan trafik termasuk memandu tanpa lesen sah menyebabkan seorang penunggang motosikal parah dalam satu kemalangan di Pesimpangan Telekom, bulan lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjun menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurazlieyyatie Ajis, 20, yang membuat pengakuan bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta Proton Iris secara melulu di kawasan lampu isyarat berhampiran Pesimpangan Telekom pada jam 7.30 malam, 16 Januari lalu, lapor Harian Metro.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 79(2), Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) akta sama atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah, tidak memiliki lesen memandu yang sah serta memandu kenderaan tanpa perlindungan polisi insurans.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan denda pada kadar minimum dengan alasan baru menamatkan pengajian di sebuah kolej tempatan dan kini sedang berusaha mendapatkan pekerjaan tetap.
Beliau turut menyatakan perlu menanggung kedua-dua ibu bapa yang tidak lagi bekerja, serta abang yang masih menyambung pelajaran dengan hanya bergantung kepada baki simpanan elaun sepanjang tempoh pengajian sebagai sumber kewangan sementara.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, memandangkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.
Menurutnya, tertuduh bukan sahaja melanggar lampu isyarat merah, malah tidak memiliki lesen memandu yang sah dan tidak sepatutnya berada di atas jalan raya.
Tambah beliau, rakaman kejadian itu turut tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh 12 bulan bermula dari tarikh sabitan semalam.


