Restoran nasi kandar mohon maaf isu bungkusan tertera ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya-Allah’

PENGURUSAN Restoran Thoulath Maju cawangan Kota Warisan, Sepang, Selangor tampil memohon maaf susulan tular beberapa hantaran di Threads yang mendakwa premis itu menggunakan bungkusan makanan tertera kalimat ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya-Allah’.

Pengurus restoran cawangan tersebut, Abdul Razak Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh dengan menukar segera bungkusan makanan lama itu kepada versi baharu sejak malam tadi.

Menurutnya, pengurusan sama sekali tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti umat Islam dan berlapang dada menerima kritikan pelanggan demi penambahbaikan operasi perniagaan.

“Saya mewakili tiga cawangan Restoran Thoulath Maju benar-benar memohon maaf, kesilapan ini berlaku di premis di Kota Warisan. Namun, sekarang kami telah menukar bungkusan baharu di semua cawangan juga.

“Disebabkan tular dalam media sosial, kami segera menukar pembungkusan, kesilapan kami tidak menyedari bungkusan lama mengandungi kalimat ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya-Allah’. Kami akui kesilapan dan memastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Semalam, seorang pengguna media sosial Threads @m1eyy.co memuat naik hantaran mendakwa restoran berkenaan menggunakan pembalut makanan tertera kalimat ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya-Allah’.

Lokasi itu dikenal pasti di Restoran Thoulath Maju cawangan Kota Warisan, bersebelahan premis makanan segera pandu lalu terkenal.

Bagaimanapun, menerusi hantaran seterusnya, pemuda tersebut mengesahkan bahawa restoran itu sudah pun menukar bungkusan makanan kepada corak baharu, dalam masa sama berharap agar kejadian sedemikian tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Ditanya tentang lebihan pembalut lama yang tidak lagi diguna pakai, Abdul Razak memberitahu bahawa pihaknya memberi jaminan menyimpan pembungkusan tersebut dan tidak membuang apatah lagi membakarnya.

“Itu bungkusan saya tidak buang, mana boleh buang, berdosa kerana ada kalimat suci ‘Allah’, ‘Muhammad’ dan ‘Masya-Allah’.

“Saya simpan sahaja di dalam stor. Apa pun, saya benar-benar memohon maaf dan berjanji memperbaiki perkhidmatan kami,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img