Pas syor mansuh peruntukan Ahli Parlimen kerajaan RM3.5 juta

KETUA Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan cadangannya berhubung pemansuhan segera peruntukan sebanyak RM3.5 juta setahun kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan adalah berdasarkan prinsip.

Ahmad Fadhli berkata, ia kerana peruntukan itu cukup besar dan lebih memberikan kesan kepada perbelanjaan negara.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, jika langkah sedemikian dibuat, ia bakal menyaksikan penjimatan yang lebih besar berbanding menerima cadangan supaya elaun petrol Ahli Parlimen sejumlah RM1,500 dikurangkan.

“Elaun petrol pula hanya melibatkan Ahli Parlimen biasa sahaja, ahli Kabinet iaitu Menteri dan Timbalan Menteri setahu saya tidak terlibat. Jadi di mana isu prinsipnya?.

“Adakah benar peruntukan RM3.5 juta itu jika dimansuhkan akan menjejaskan rakyat di akar umbi? Jika demikian, adakah ini bermaksud rakyat di Parlimen yang diwakili pembangkang sudah terjejas selama tiga tahun dari 2023 hingga 2025? Bukankah itu lebih zalim dan kejam?.

“Sebagaimana kerajaan sering menyatakan walaupun peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan, rakyat tetap dibela. Maka sekarang belalah rakyat menggunakan kaedah sama, yang penting RM3.5 juta untuk satu Parlimen berjaya dijimatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli menambah, sebaik penjimatan besar RM3.5 juta setahun untuk satu Parlimen dijimatkan, tiada masalah sekiranya tumpuan beralih pula kepada penjimatan kecil misalnya perihal elaun petrol RM1,500 dikurangkan.

“Setelah penjimatan besar RM3.5 juta setahun untuk satu Parlimen ini dijimatkan, barulah kita beralih kepada penjimatan kecil. Contohnya RM1,500 elaun petrol,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan pemimpin Pas itu mencadangkan kerajaan memansuhkan peruntukan khas RM3.5 juta yang diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai langkah penjimatan susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img