SEORANG lelaki warga Mesir ditahan selepas disyaki mengugut bunuh pemilik bilik yang disewanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pengadu iaitu wanita warga emas berusia 70 tahun tampil membuat aduan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam Rabu lalu.
“Pengadu melaporkan dia diugut bunuh, selain rumahnya diancam akan dibakar oleh suspek yang menyewa bilik di kediamannya.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berhubung bayaran sewaan bulanan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di lokasi kejadian kira-kira jam 12.49 tengah malam Khamis lalu.
“Hasil semakan mendapati suspek iaitu seorang lelaki warga Mesir berusia pertengahan 20-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek direman selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu lalu sebelum ditahan lanjut selama 14 hari bermula hari ini hingga 11 April ini kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.
Fadil berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


