MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab ke atas kerugian berjumlah AS$1.18 bilion (RM5.55 bilion) dialami SRC International Sdn Bhd, yang berpunca daripada pelanggaran kewajipan fidusiarinya.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memerintahkan Najib membayar AS$1.3 bilion (RM6.11 bilion) kepada syarikat itu kerana menyalahgunakan kedudukannya dan bertindak dengan niat tidak baik dengan menyeleweng AS$120 juta (RM564 juta) ke dalam akaun bank peribadinya.
Jumlah AS$1.3 bilion RM6.11 bilion) itu merangkumi USD1.18 bilion (RM5.55 bilion) kerugian dan AS$120 juta (RM564 juta) sebagai ganti rugi yang ditetapkan, manakala kos akan ditentukan kemudian, lapor FMT.
Mahkamah membenarkan penangguhan sementara Najib memfailkan permohonan rasmi untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan dalam tempoh 14 hari.
Tukaran semasa wang ketika keputusan mahkamah itu ialah AS$1 =RM4.70.
Hakim turut mengambil maklum bahawa penghakiman ingkar telah dikenakan terhadap defendan kedua yang juga bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
Dalam alasan penghakiman ringkasnya, Fairuz memutuskan Najib bertindak sebagai pengarah bayangan syarikat, mempunyai kawalan meluas terhadap urusan SRC International serta mengarahkan keputusan penting membabitkan pinjaman, pindahan dana dan pelaburan tanpa pemantauan teratur atau usaha wajar.
Hakim turut mendapati bahawa Najib secara sengaja memintas langkah-langkah keselamatan, termasuk kawalan berkanun dan institusi, demi menyegerakan penyaluran dana ke entiti luar pesisir.
Fairuz menambah, Najib terlibat dalam penyembunyian maklumat secara terancang, merahsiakan maklumat material daripada Jemaah Menteri dan badan pemantau lain, termasuk kemasukan dana sebanyak USD120 juta ke dalam akaun peribadinya.
“Seorang pegawai awam yang menggalas tanggungjawabnya secara jujur dan di bawah bidang kuasanya tiada alasan untuk menyembunyikan fakta material daripada badan-badan berkenaan,” katanya.
Mahkamah memutuskan perbuatan itu menunjukkan Najib sedia maklum bahawa beliau menyalahgunakan kuasa awamnya atau secara semberono tidak menghiraukan batasan bidang kuasanya.
Hakim berkata, kegagalan Najib memantau penggunaan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), mendapatkan semula wang yang diseleweng, atau melancarkan siasatan mengukuhkan lagi dapatan berhubung niat jahat itu.
“Beliau menghalang siasatan yang mampu membantu mengenal pasti dalang serta memperoleh semula aset. Beliau melindungi dirinya sendiri, sehingga memudaratkan syarikat, dengan merancang penipuan berkenaan.
“Seorang pegawai awam yang jujur serta mengambil berat tentang kepentingan SRC International sudah tentu akan berusaha mendapatkan semula dana yang diseleweng itu,” katanya.
Mahkamah turut menolak tuntutan terhadap bekas barisan pengarah syarikat tersebut sebagai pihak ketiga beserta kos.
Mahkamah menolak hujah Najib bahawa kerugian syarikat berpunca daripada kecuaian barisan pengarahnya, dan menetapkan bahawa sebarang kegagalan sedemikian tidak memutuskan rantaian penyebab.
Mahkamah turut menolak hujah beliau bahawa tindakan SRC International menarik balik tuntutan terhadap bekas barisan pengarahnya disifatkan sebagai kompromi yang menghalang tindakan perundangan semasa.
Saman berkenaan pada awalnya menamakan bekas pengerusi syarikat Ismee Ismail, serta bekas pengarah iaitu Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, sebagai defendan bersama.
SRC International kemudiannya menggugurkan kes terhadap mereka, namun Najib seterusnya menyenaraikan mereka sebagai pihak ketiga.
Lim Chee Wee mengetuai barisan peguam bagi pihak SRC International, manakala Shafee Abdullah dan Farhan Shafee mewakili Najib.


