PADA 15 Mac lalu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melantik semula LEFTENAN JENERAL (BERSARA) DATUK AHMAD NORIHAN JALAL sebagai Pengerusinya.
Pelantikan itu dilihat peluang kepada beliau yang pernah berkhidmat selama 30 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meneruskan agenda bagi memastikan gerakan koperasi negara terus diperkasakan bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa, serta meningkatkan sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Dalam BAHAGIAN PERTAMA wawancara bersama UtusanMelayuPlus, Ahmad Norihan menjelaskan langkah bagi memastikan koperasi bertindak secara strategik, bergerak secara progresif selari aspirasi Malaysia MADANI.
Pelantikan kali kedua ini pastinya membuka ruang kepada orang bertanya apa kelebihan datuk dan apa perancangan Datuk seterusnya?
AHMAD NORIHAN : Pelantikan semula ini adalah satu amanah besar untuk memastikan kesinambungan agenda reformasi yang telah dimulakan sejak saya dilantik kali pertama pada Mac 2024 tidak berhenti di tengah jalan.
Semasa tempoh pertama saya menjadi Pengerusi SKM, kita cuba meletakkan satu asas penting daripada pengukuhan tadbir urus. Yang keduanya adalah pemetaan semula berkenaan ekosistem koperasi itu sendiri sehinggalah kepada usaha-usaha digitalisasi.
Mandat kali kedua ini adalah untuk membawa perubahan tersebut ke satu fasa lebih tinggi iaitu daripada asas kepada impak lebih besar.
Satu lagi fokus saya adalah untuk memastikan bahawa koperasi benar-benar berfungsi sebagai pemacu ekonomi rakyat, sebagai satu wadah. Sebenarnya saya nak panggil revolusi ekonomi tetapi kita lebih kepada pemacu ekonomi rakyat. Maknanya bukan sekadar pelengkap dalam struktur ekonomi negara.
Selari dengan aspirasi Malaysia Madani, dalam kita menekankan kesejahteraan , kemampanan dan keadilan ekonomi, koperasi berperanan sebagai satu mekanisme, memastikan pertumbuhan ekonomi sampai secara langsung kepada rakyat.
Untuk mencapai objektif itu, adakah akan berlaku perubahan besar atau pendekatan baharu dalam gerakan koperasi ?
Perubahan dasar bukan satu perubahan, sebaliknya penambahbaikan. Saya menganggap perkara-perkara yang sebelum ini, mungkin dilihat sebagai satu unfinished business…perlu diselesaikan segera. Antaranya penstrukturan semula koperasi berskala kecil supaya lebih berdaya saing.
Kalau boleh yang skala kecil ini atau mikro pergi kepada kecil dan kemudian boleh pergi kepada sederhana dan seterusnya. Yang keduanya kita perlu mempercepatkan sistem digital ini…digitalisasi.
Salah satu yang kita rancang dan sedang dibangunkan ialah SPKB – Sistem Pengurusan Koperasi Bersepadu. Yang ni Alhamdulillah bajet kita telah terima.
Yang keduanya adalah staf di SKM sudah melalui proses-proses pembelajaran AI. Beberapa kelas telah pun dibuat atas usaha Ketua Pegawai Eksekutif sendiri untuk melihat pegawai dan staf SKM boleh maju. Kita selalu bercakap pasal AI sahaja walaupun kita tak tahu. Sekurang-kurangnya kita bermula dengan agentik AI. Alhamdulillah bahawa mereka telah menggunakannya..
Kita perlu melihat koperasi di luar negara untuk maju. Contohnya Mondragon Corporation di Sepanyol dan juga Fonterra di New Zealand. Kejayaan mereka berpunca daripada profesionalism. Profesionalism itu ilmu, ia akan membawa kepada keupayaan untuk kita menarik bakat-bakat lain dalam koperasi…bakat-bakat muda, jadi ni model yang boleh kita adaptasikan dalam konteks gerakan koperasi di Malaysia.
Dan yang ketiganya, kita mahu meningkatkan sumbangan koperasi lebih ketara kepada ekonomi negara. Maksudnya jika sebelum ini pencapaian dalam KDNKyang kita sasarkan adalah 3 peratus tetapi melalui Dasar Koperasi Malaysia atau DACOM 2030, ia akan mencapai hingga 5 peratus.
Selain itu pendekatan kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh bergantung kepada pendekatan lama kerana persekitaran ekonomi sekarang lebih mencabar dalam keadaan geopolitik dan strategi yang berlaku.
Jadi koperasi perlu berubah daripada entiti yang mungkin kurang tersusun kepada lebih tersusun, lebih efisien dan mampu bersaing, jika ingin kekal relevan dalam lanskap ekonomi semasa.
*BAHAGIAN KEDUA : Strategi menarik SKM tarik golongan belia


