PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) dalam industri penyiaran dan kewartawanan dijangka tidak akan menggantikan peranan manusia sepenuhnya, sebaliknya mengubah keperluan kemahiran dalam profesion berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan pemerhatian dan analisa semasa, AI tidak mampu menggantikan wartawan atau pembaca berita secara keseluruhan.
Namun, beliau menjangkakan tenaga kerja dalam industri itu akan berubah apabila mereka yang tidak menguasai teknologi tersebut berdepan risiko ketinggalan.
“Wartawan dan pembaca berita tidak akan digantikan oleh AI, tetapi akan digantikan oleh mereka yang fasih menggunakan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Simposium Penyiaran Digital 2026 (DBS2026) anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, perbincangan dalam simposium tersebut banyak tertumpu kepada persoalan kesan AI terhadap industri penyiaran, termasuk masa depan kerjaya dalam bidang kewartawanan.
Sehubungan itu, Fahmi berkata kerajaan telah memperkenalkan dana inovasi media berjumlah RM30 juta bagi membantu syarikat media mengadaptasi teknologi baharu tanpa menjejaskan tenaga kerja.
“Dana ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua syarikat media supaya penggunaan AI dapat dioptimumkan tanpa perlu membuang pekerja,” katanya.


