KERAJAAN memaklumkan siasatan berkaitan kes melibatkan Azam Baki kini melalui dua proses berbeza yang perlu dilengkapkan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan siasatan sebelum ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri, namun Kabinet memutuskan agar penelitian lanjut dibuat.
Menurut beliau, proses pertama melibatkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang diarahkan meneliti prosedur dan keputusan berkaitan kes tersebut.
“Pada masa sama, saya telah nyatakan sebelum ini bahawa keputusan itu tidak boleh diumumkan lagi,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Simposium Penyiaran Digital 2026 (DBS2026) anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi menjelaskan, proses kedua pula melibatkan siasatan oleh badan penguatkuasaan susulan dakwaan oleh sebuah syarikat media antarabangsa mengenai penyalahgunaan institusi penguat kuasa bagi tujuan manipulasi korporat.
Dakwaan itu turut mengaitkan seorang individu dikenali sebagai Victor Chin yang didakwa menyalahgunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini dua siasatan yang berbeza tetapi mungkin berkait, maka kedua-duanya perlu dilengkapkan,” katanya.
Beliau turut merujuk kenyataan oleh AMLA bahawa Victor Chin sebelum ini ditahan di bawah Ops Viking, dengan jumlah sitaan mencecah lebih RM470 juta.
Menurut Fahmi, siasatan itu tidak terhenti setakat itu sahaja dan akan diteruskan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan tindakan menyeluruh diambil.
Tambah beliau, aktiviti yang dikaitkan dengan individu berkenaan dipercayai telah berlaku sejak beberapa pentadbiran terdahulu.
“Saya tidak pasti mengapa tiada tindakan diambil sebelum ini, namun kerajaan Madani kini telah mengambil langkah sewajarnya,” katanya.
Dalam masa sama, Fahmi menasihatkan Victor Chin agar tampil membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan sekiranya mempunyai sebarang aduan atau penjelasan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam.


