EMPAT motosikal milik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik musnah dalam kebakaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.27 pagi itu, sebuah motosikal awam turut terbakar selain kebakaran membabitkan sebahagian bangunan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustoffar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 pagi sebelum sebuah jentera bersama anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan operasi di lokasi, didapati kebakaran membabitkan empat motosikal polis trafik, sebuah motosikal awam serta sebahagian bangunan.
“Anggaran kemusnahan motosikal adalah 100 peratus, manakala bangunan pula kira-kira 10 peratus,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman membabitkan 10 anggota bomba dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.


