Tiada keperluan segera laksana pakej rangsangan – Gabenor Bank Negara

BANK Negara Malaysia (BNM) memberi isyarat tiada keperluan segera bagi pelaksanaan pakej rangsangan secara meluas berikutan konflik Asia Barat ketika ini.

Susulan itu, bank pusat berkenaan lebih cenderung kepada pendekatan holistik dan bersasar ketika keadaan ekonomi negara masih kekal berdaya tahan.

Ketika menekankan perkara itu, Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour berkata pakej rangsangan itu tidak boleh dilaksanakan secara meluas di semua sektor, sebaliknya perlu holistik dan berpandukan gambaran serta tahap ekonomi secara menyeluruh.

Beliau berkata, ini penting memandangkan Malaysia memasuki tahun ini daripada kedudukan kukuh susulan pemulihan daripada pelbagai krisis, terutama pandemik Covid-19.

“Kita perlu mengambil maklum serta mengakui bahawa kita baru sahaja selesai daripada beberapa krisis, khususnya pandemik Covid-19.

“Tempoh pasca pandemik pula menyaksikan kita telah melaksanakan banyak bantuan daripada sokongan fiskal kerajaan kepada bantuan bank dengan pendekatan secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas beberapa laporan utama BNM dikeluarkan, hari ini,lapor Bernama.

Rasheed berkata, langkah sokongan meluas dilaksanakan pada tempoh pasca pandemik juga lebih bersasar, malah ada yang masih dijalankan.

“Usaha ini masih diteruskan dan bank-bank bersedia membantu peminjam, korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Oleh itu, jika mengalami sebarang masalah kewangan, mereka boleh menghubungi pihak bank yang sedia membantu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan terus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai sektor menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membolehkan pihak berkuasa mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan sebenar ekonomi, mengenal pasti segmen paling terjejas serta menyalurkan bantuan yang amat diperlukan.

“Langkah ini tidak boleh dilaksanakan secara meluas atau (merentasi) seluruh sektor. Kita perlu mengambil pendekatan menerusi penilaian secara holistik mengenai keseluruhan ekonomi sebelum memutuskan ke mana sumber ini disalurkan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img