Disangka pelanduk, remaja perempuan parah terkena tembakan

SEORANG  remaja perempuan berusia 15 tahun parah selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri atau ‘bakakuk’ ketika mencari katak di kawasan sungai di Kampung Tinanom, Ranau malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dipercayai disangka pelanduk oleh seorang lelaki yang sedang memburu di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, mangsa mengalami kira-kira 13 kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk leher, dada, bahu, tangan dan lutut kanan.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan.

Suspek yang bekerja sebagai petani ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ranau kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek keluar memburu dengan membawa senjata api buatan sendiri dengan menyusuri kawasan Sungai Keliu. Ketika berada di kawasan berkenaan, suspek ternampak cahaya yang disangkakan mata pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan.

“Bagaimanapun, suspek kemudian terdengar jeritan kesakitan sebelum mendapati individu yang terkena tembakan adalah remaja perempuan terbabit,” katanya lapor Buletin TV3.

Mursalin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang ahli keluarganya dan seorang lagi lelaki pergi ke kawasan sungai untuk menangkap ikan serta mencari katak.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa pulang ke kampung sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paginatan.

“Mangsa pada mulanya berada dalam keadaan sedar tetapi mengalami kesukaran bernafas sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan disyaki akibat tembakan termasuk patah pergelangan tangan kiri dan terpaksa ditidurkan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, petang semalam bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan pembedahan.

Menurutnya, suspek dipercayai membuang senjata api berkenaan ke dalam hutan selepas kejadian.

“Setakat ini, senjata api berkenaan belum ditemui dan usaha mengesannya sedang dijalankan dengan bantuan pasukan forensik serta Bahagian D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here