MENTERI luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, Amerika Syarikat (AS) akan mengalami kekalahan teruk dengan korban yang tinggi sekiranya berlaku perang darat.
Sehubungan itu, Araghchi berkata, beliau tidak fikir AS berani melakukan tindakan sedemikian kerana akan menanggung kerugian besar.
‘’Kami telah mempertahankan diri dengan bersungguh-sungguh dan menyebabkan kerosakan besar terhadap peralatan serta kemudahan mereka; anda sendiri melihat apa yang berlaku kepada pesawat AWACS dan kapal tangki bahan api mereka.
‘’Kami tahu cara mempertahankan diri dengan baik, malah lebih berpengalaman dan bersedia dalam perang darat. Kami bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang ancaman darat dan mempunyai pengalaman yang mencukupi,’’ katanya dalam wawancara bersama Al Jazeera.
Araghci yang berada dalam senarai untuk dibunuh oleh Israel berkata, dari sudut pandangan Iran, penamatan perang harus melibatkan seluruh rantau, termasuk Iran, Lubnan, Iraq dan Yaman.
“Kami mahukan keamanan di seluruh rantau. Buat masa ini, tiada rundingan,” katanya.
Araghchi turut menegaskan bahawa Iran tidak menerima sebarang tempoh akhir (deadline) dalam mempertahankan diri.
“Kami akan mempertahankan negara dan rakyat kami sejauh mana yang diperlukan dan dengan apa jua cara,” katanya, sambil menambah bahawa musuh tidak boleh menetapkan sebarang syarat masa kepada Iran.
Beliau turut menggesa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengubah pendekatannya, dengan menyatakan bahawa rakyat Iran tidak boleh dihadapi dengan bahasa ancaman.
“Rakyat Iran adalah bangsa yang besar, berdikari dan mempunyai tamadun yang kaya. Mereka harus dihormati,” katanya.
Mengenai Selat Hormuz, Araghchi berkata, laluan tersebut terletak di perairan Iran dan Oman, bukan perairan antarabangsa, oleh itu, kepentingan kedua-dua negara perlu diambil kira dalam urusan pelayaran.
Menurut beliau, selat itu kini masih terbuka, namun ditutup bagi kapal negara yang terlibat dalam konflik dengan Iran.
“Dalam keadaan perang, adalah wajar kami tidak membenarkan musuh menggunakan perairan kami,” katanya.
Beliau menambah bahawa banyak kapal dari negara lain mengelak melalui selat itu kerana faktor keselamatan dan kos insurans yang tinggi.
Namun kata beliau beberapa negara telah mengadakan rundingan dengan Iran dan diberikan laluan selamat, khususnya negara sahabat.
Araghchi menjelaskan bahawa pengaturan selepas perang berkaitan Selat Hormuz akan ditentukan oleh Iran dan Oman, dengan mengambil kira kepentingan negara lain di rantau dan luar rantau.
“Dari sudut pandangan kami, Selat Hormuz boleh menjadi laluan damai untuk semua negara, tetapi keselamatan pelayaran dan isu alam sekitar memerlukan mekanisme bersama antara negara pesisir,” katanya.


