Penunggang motosikal wanita parah dalam kemalangan enam kenderaan di Malim Nawar

SEORANG wanita cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima buah kereta dan motosikal ditungganginya di Kilometer 4 Jalan Kuala Dipang–Malim Nawar, berhampiran Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah di Kampar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, polis menerima laporan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 8.56 malam yang dipercayai berlaku sekitar jam 6.42 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang wanita bersama dua kanak-kanak keluar dari bahu jalan di hadapan sekolah berkenaan untuk bergerak ke arah pekan Malim Nawar.

“Secara tiba-tiba, sebuah Proton Satria dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kenderaan itu sehingga terbalik.

“Proton Satria itu turut melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang wanita hingga menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Nazri, berikutan pelanggaran itu, beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi termasuk sebuah Perodua Bezza gagal mengelak dan turut melanggar mangsa di atas jalan.

Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan sebuah Proton Saga yang diparkir di bahu jalan bergerak ke belakang sebelum melanggar sebuah Perodua Axia yang berada di belakangnya.

Tambah beliau, mangsa wanita yang menunggang motosikal berusia 19 tahun dipercayai mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk kiri dan tulang pinggul kanan, selain luka di beberapa anggota badan manakala pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan di bahagian dada dan lutut.

Bagaimanapun kata beliau, dua kanak-kanak yang berada dalam kenderaan itu hanya cedera ringan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas pemandu Proton Satria gagal mengawal kenderaannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar kenderaan dari arah hadapan.

Mengulas dakwaan tular dalam media sosial yang mengaitkan kejadian itu dengan pemandu mabuk, Mohamad Nazri memberitahu, siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda pemandu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol.

“Namun, ujian lanjut termasuk ujian air kencing dan kandungan alkohol dalam darah tetap dijalankan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img