SEBANYAK 96 kandungan berunsur palsu dikesan tersebar di pelbagai platform media sosial dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, dengan tiga individu telah dipanggil untuk siasatan.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri susulan peningkatan penyebaran berita tidak sahih di platform seperti Facebook, Threads, TikTok dan X.
“Setakat tengah malam tadi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti dan mengesahkan 96 kandungan palsu, termasuk yang menggunakan logo organisasi berita seperti Astro Awani dan Buletin TV3.
“Kesahihan kandungan tersebut turut disemak bersama Kementerian Kewangan Malaysia bagi memastikan maklumat yang tepat,” katanya dalam sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi memaklumkan, MCMC juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan terhadap penyebar maklumat palsu.
“Setakat ini, tiga individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan dan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” jelasnya.


