Pegawai AADK cedera diserang ketika operasi ujian urin

SEORANG pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cedera selepas dipercayai dihiris dengan pisau oleh seorang suspek ketika menjalankan operasi saringan air kencing di Bangsar, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 5.08 petang daripada seorang petugas AADK.

Menurutnya, mangsa yang merupakan lelaki berusia 48 tahun mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan ibu jari kanan akibat serangan suspek.

“Mangsa kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian berlaku di sebuah premis cuci kereta berhampiran Bangsar South Mall di Jalan Kerinchi ketika anggota AADK menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Siasatan awal mendapati suspek seorang lelaki berusia 46 tahun dari Cheras, pada mulanya ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing namun enggan memberi kerjasama.

“Suspek kemudian bertindak agresif dan cuba melarikan diri sebelum bertindak menghiris mangsa menggunakan pisau,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pasukan operasi sedang giat mengesan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img