SEORANG anggota tentera kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dibelasah oleh seorang anggota lain di sebuah kem tentera di Pahang baru-baru ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada 30 Mac lalu, mangsa seorang prebet mengalami kecederaan parah akibat ditumbuk di beberapa bahagian badan selain ditampar berkali-kali sehingga mengalami kecederaan serius.
Difahamkan, anggota tentera itu yang berusia 24 tahun dibelasah oleh anggota berpangkat koperal sewaktu mangsa diarahkan untuk membersih stor di kem berkenaan kira-kira jam 8 malam.
Ketika itulah, dia dihampiri oleh seorang anggota berpangkat koperal yang menampar mangsa berkali-kali selain menumbuknya di bahagian perut sehingga menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.
Selepas kejadian itu, difahamkan anggota terbabit telah dibawa ke pusat perubatan Angkatan Tentera di dalam kem untuk menerima rawatan awal namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Berikutan itu, dia kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.
Sewaktu menjalani rawatan di hospital, keadaan anggota terbabit dilaporkan masih lemah dan ketika ini mangsa terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan seorang anggota tentera cedera parah kerana dipukul dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 8.45 pagi semalam.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Mac kira-kira jam 8 malam dan laporan polis dibuat oleh bapa mangsa berusia 49 tahun.
“Siasatan awal mendapati seorang suspek iaitu anggota tentera berpangkat koperal dipercayai terbabit dalam kejadian dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
“Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Zaiham berkata, seorang daripada mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Tambahnya, mangsa lain sudah dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan sekiranya terdapat sebarang kecederaan.
Beliau memberitahu, susulan kejadian itu, polis menahan anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada jam 2.30 petang semalam bagi membantu siasatan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula hari ini hingga 4 April.
Zaiham turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.


