PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang menggagalkan kegiatan penyeludupan daging babi selepas merampas kira-kira tujuh tan karkas bernilai RM795,100 dalam serbuan di sebuah jeti haram di Sungai Merbok, Kedah, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, tujuh lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti memindahkan dan mengangkut karkas daging babi secara haram.
Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan dijalankan menerusi Op Taring Landai dan Op Taring Gelora hasil risikan Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang dengan kerjasama Botronda PSC45.
Menurutnya, operasi itu melibatkan dua pegawai kanan dan 10 anggota yang menyasarkan kawasan perairan Tanjung Dawai sebelum menyerbu lokasi kegiatan berkenaan.
“Hasil serbuan, pasukan berjaya merampas kira-kira tujuh tan karkas daging babi dianggarkan bernilai RM795,100,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, turut dirampas dalam operasi itu ialah dua lori sejuk beku, sebuah bot fibre tanpa nombor pendaftaran, tiga unit enjin serta tiga gugus kunci yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati karkas daging babi berkenaan dibawa dari negara jiran Thailand melalui jalan laut.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek gagal mengemukakan sebarang permit kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi aktiviti tersebut,” katanya.
“Kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.


