SEBUAH premis penyimpanan makanan sejuk beku di Skudai digempur pihak berkuasa dalam Op Taring Chiller hari ini selepas disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan penyembelihan sah.
Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dari Cawangan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi bersepadu itu melibatkan pegawai dari JPV Putrajaya dan Johor.
Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah karkas daging babi sejuk beku yang memiliki dokumen penyembelihan meragukan.
“Kesemua daging itu disyaki tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh JPV.
“Perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 22 karkas daging babi dengan anggaran berat 1,058.1 kilogram dirampas dalam operasi tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM63,486,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, pihaknya turut menahan tujuh individu termasuk enam lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis.
“Kesemua warga Nepal itu ditahan atas kesalahan menyalahgunakan atau melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pemilik premis pula ditahan kerana menggajikan pekerja asing dan akan diambil tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.
“Semua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.
“Manakala kes berkaitan pelanggaran peraturan penyembelihan diambil tindakan oleh JPV mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.


