MCMC siasat lima individu sebar berita palsu kenaikan harga minyak

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap lima individu yang dipercayai terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berkaitan kenaikan harga petrol dan diesel di media sosial.

MCMC dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, tiga individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan dijalankan susulan aduan diterima berhubung kandungan yang didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pengguna.

“Hasil semakan lanjut mendapati pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, MCMC turut menerima aduan rasmi daripada Buletin TV3 yang menegaskan kandungan tular berkenaan bukan diterbitkan oleh pihak mereka, sebaliknya dilakukan oleh pihak ketiga.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” kata kenyataan itu lagi.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform media sosial bagi tujuan menyebarkan maklumat palsu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

Sebelum ini media melaporkan, Buletin TV3 menerima makluman mengenai penularan maklumat berkaitan harga minyak palsu yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img