MCMC kemuka 5,409 permohonan turun kandungan palsu sejak 2022

SEBANYAK 5,409 permohonan menurunkan pemalsuan imej dan deepfake dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan antara 1 Januari 2022 hingga 15 Januari lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu sebanyak 92 peratus atau 4,955 kandungan sedemikian diturunkan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Bagi kandungan palsu, sebanyak 59,967 permohonan telah dikemukakan, dengan 51,912 (87%) kandungan telah diturunkan.

“Semua tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan setiap platform serta undang-undang tempatan berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Fahmi menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berhubung langkah membendung penyebaran kandungan memfitnah yang dijana kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, MCMC sedang bekerjasama rapat dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasaan untuk membendung penyebaran maklumat palsu, termasuk kandungan dijana AI.

Jelasnya, MCMC juga sedang melengkapkan instrumen subsidiari lain di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan berlesen menguruskan risiko dalam talian secara berkesan.

Antara cadangan sedang dipertimbangkan termasuk pelabelan kandungan dijana atau dimanipulasi menggunakan AI seperti deepfake, manipulasi imej dan suara bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan berpotensi mengelirukan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img