SEORANG mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, Mohd Faizal Ismail, 38, dari Felda Selendang 1, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 7.20 malam.
“Siasatan awal mendapati van berkenaan dipandu anggota polis berusia 26 tahun bersama lima lagi anggota yang dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin selepas selesai penugasan Ops Pangguni di Maran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Maran menuju ke bandar Rompin untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran lokasi kejadian.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu van memperlahankan kenderaan dan memberi laluan kepada beberapa kenderaan sebelum membelok ke kanan untuk masuk ke stesen minyak.
“Bagaimanapun, ketika dipercayai laluan selamat, van itu telah dilanggar di bahagian sisi kiri oleh motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dalam keadaan bergerak lurus,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai mekanik bengkel dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kampung Sepakat menuju ke rumahnya di Taman Nusa Puteri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala kesemua enam anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.


