Mekanik ditahan simpan lima senjata api, termasuk pistol tiruan

SEORANG mekanik di sebuah premis membaiki kenderaan di Baling ditahan polis selepas dipercayai memiliki lima senjata api termasuk sepucuk pistol tiruan dalam serbuan pada 1 Mei lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kedah di bengkel berkenaan.

Menurutnya, hasil serbuan polis merampas sepucuk pistol jenama Colt UTC/TIC Caliber .45 bersama kelopak kosong serta sepucuk pistol Forjas Taurus S.A PT 24/7 CAL 9 lengkap dengan kelopak mengandungi dua butir peluru 9mm.

“Turut dirampas dua laras senapang angin berwarna hitam berhulu kayu coklat dan satu kotak mengandungi 17 butir peluru hidup jenis 0.45 USA auto.

“Selain itu, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, 130 biji bebola besi, sebuah kompresor udara dan satu sarung pistol,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek memperoleh senjata api dan peluru itu sejak awal tahun lalu daripada kenalannya di negara jiran sebelum dibawa masuk melalui sempadan Pengkalan Hulu, Perak.

Katanya, senjata api berkenaan dibeli pada harga antara RM1,300 hingga RM1,500 dan suspek mengaku ia hanya dijadikan koleksi peribadi.

“Dua laras senapang angin itu pula adalah buatan sendiri oleh suspek yang mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan senapang terbabit.

“Penghasilan bahagian kerja senjata itu diperoleh daripada barangan terpakai dan belian daripada kedai peralatan serta perkakasan binaan di sekitar Baling, ” katanya.

Menurut beliau, suspek yang sebelum ini bekerja di kapal dan sering belayar, sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana disyaki berdagang senjata api, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki amunisi tanpa lesen serta Seksyen 36 akta sama kerana memiliki senjata tiruan.

Katanya, suspek direman lapan hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img