EMPAT sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dipercayai didera hingga maut, minggu lalu.
Tertuduh, M. Satis Kumar, 27; M. Savathri, 28; S.C. Veeraletchumy, 53; dan M. Murali, 49, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret R. Prabakaran.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Buletin TV3.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian mangsa dikenali sebagai Thanavitha di sebuah rumah di Taman Sungai Mas dalam daerah Larut Matang dan Selama pada 26 Mac lalu.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Faizal, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Keluarga mangsa pula diwakili peguam pemerhati M. Dinesh, G. Devaneson dan Low Tze Ken.
Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan DNA, forensik dan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia pada 28 Mac lalu dengan kesan kecederaan mencurigakan, dipercayai akibat penderaan.
Sementara itu, peguam pemerhati, M. Dinesh memaklumkan mangsa dipercayai didera sehingga maut, dengan insiden itu didakwa berpunca daripada tindakan kanak-kanak berkenaan mengambil sebiji telur rebus.
Menurutnya, mangsa dijaga oleh saudara-mara sejak berusia enam bulan selepas ditinggalkan ibu kandungnya sebelum berlaku konflik yang membawa kepada kejadian tragis itu.


