
JOHOR akan menjadi medan pertarungan paling sengit apabila Perikatan Nasional (PN) ‘menyertai’ Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding kesemua 56 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Walaupun pada PRN 2022, PN hanya menang 3 daripada 56 kerusi yang ditandingi namun gabungan disertai oleh Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP itu tidak berputus asa di negeri yang dianggap kubu kuat UMNO tersebut.
Pertarungan di semua kerusi melibatkan ketiga-tiga parti itu bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan mereka pernah pun bertembung pada PRN lalu, cuma kali ini ia dianggap pelik sebab PH-BN bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, selain bekerjasama menguruskan negeri di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.
Bagaimanapun apabila pada 16 Mei lalu BN mengesahkan akan bertanding kesemua kerusi, PH bagaikan menyahut cabaran itu dengan menegaskan akan melakukan langkah yang sama.
Walaupun wujud keraguan bahawa pengumuman BN dan PH sekadar laungan politik memandangkan ramai yang percaya kedua-dua parti itu akan bergabung apabila PRN selesai, PN pula kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, terbuka mengadakan rundingan dengan parti lain bagi mengelakkan pertembungan kerusi sesama blok pembangkang.
“PN juga sedia tanding semua kerusi tapi kita mungkin terbuka membuat perundingan dengan beberapa parti lain supaya pembangkang tidak bertembung,” katanya ketika di Ibupejabat Pas, hari ini.
Bagaimanapun ramai meramalkan senario PRN Johor kali ini akan lebih menarik dan mungkin lebih sengit. Ia memandangkan ramai mahu melihat bagaimana PH-BN akan turun ke gelanggang dan bagaimana pula reaksi pengundi setelah melihat apa yang berlaku selepas PRU-15.
Atau adakah PN akan menjadi alternatif memandangkan pastinya wujud kempen undi BN=undi PH? Bagaimana pula BN mahu menyakinkan pengundi dan penyokong bahawa mereka tidak akan bergabung dengan PH selepas PRN? Sama-samalah kita tunggu ‘sinetron’ ini.


