Masih ada masa lagi, pelantikan Ketua Pembangkang PN belum diputuskan – Abdul Hadi

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tempoh untuk membuat keputusan memilih Ketua Pembangkang di Parlimen yang baharu masih panjang dan setakat ini ia belum diputuskan.

Menurut beliau, pelantikan itu juga akan dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Katanya, pelantikan Ketua Pembangkang tidak perlu dibuat tergesa-gesa berikutan sidang Parlimen hanya akan berlangsung pada Jun depan.

​Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan urusan dalaman PN terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan untuk dimuktamadkan secara rasmi.

​”Kalau soal Ketua Pembangkang, ia akan dibincangkan bersama semua pihak kerana melibatkan semua Ahli Parlimen pembangkang.

​”PN bukan hanya Pas. Walaupun Pas merupakan parti terbesar dalam gabungan ini, kita tetap mengambil kira pandangan parti-parti lain,” katanya.

​Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah duha pada Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata, gabungan itu akan mengumumkan Ketua Pembangkang baharu daripada Pas sebelum akhir Mac selepas beberapa proses dalaman parti selesai dilaksanakan.

Katanya, keputusan mengenai individu yang akan memegang jawatan itu masih dalam perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

​Sehingga kini, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih kekal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sehingga satu keputusan baharu dibuat oleh pucuk pimpinan PN.

Dalam perkembangan yang sama, ​Abdul Hadi memberitahu, perbincangan berhubung jawatan tersebut perlu dilakukan dengan teliti dan mungkin mengambil sedikit masa bagi memastikan semua aspek diambil kira.

​Bagaimanapun, beliau menjangkakan keputusan berhubung perkara itu dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum sidang Parlimen akan datang bermula.

​”Kita akan ambil kira semua pandangan parti politik termasuk pandangan Ahli Parlimen pembangkang sebelum membuat keputusan,” ujar beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img