SPRM tahan bekas pengerusi sebuah rumah ibadat seleweng dana RM50,000

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, telah menahan seorang bekas pengerusi sebuah rumah ibadat di negeri itu, kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kira-kira RM50,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 70-an itu telah ditahan kira-kira jam 3 petang, 2 April lalu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada November 2021 dan turut bersubahat dengan seorang lagi individu yang telah ditahan Mac lalu, dengan mengemukakan invois tuntutan bayaran perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi tujuan kerja pembaikan rumah ibadat berkenaan.

“Bagaimanapun, kerja itu dipercayai tidak pernah dilaksanakan dan hanya helah untuk mengelirukan pihak pengurusan rumah ibadat,” kata sumber tersebut.

Sumber memberitahu, siasatan kini tertumpu kepada rumah ibadat itu yang telah wujud sejak tahun 1950-an dan sumber kewangan utama melalui sumbangan serta derma.

Hasil siasatan kata sumber itu turut mendapati pendaftaran rumah ibadat itu telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada Oktober 2024 dan didapati dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

“Keadaan rumah ibadat yang tidak berdaftar menyebabkan ketiadaan pemantauan oleh pihak berkuasa terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaannya, sekali gus membuka ruang kepada berlakunya penyelewengan dana sumbangan orang awam.

“Penyelewengan ini dipercayai telah memberi kesan kepada operasi serta kebajikan rumah ibadat, termasuk menjejaskan aktiviti keagamaan dan kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, kedua-dua suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img