SEBUAH bilik darjah yang terletak di aras tiga di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Peir Chih di Jalan Long Yunus, Kota Bharu terbakar hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II Zuzuki Safei berkata, bagaimanapun dalam kejadian itu, tiada kecederaan melibatkan murid serta guru sekolah dilaporkan.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dimaklumkan bahawa bilik kelas seni lukis itu dan sudah tiga bulan tidak digunakan untuk sebarang aktiviti pembelajaran.
“Kebakaran terbabit melibatkan hampir 60 peratus bilik darjah tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 pagi dan tiba di lokasi kira-kira jam 10.31 pagi.
Tambahnya, operasi pemadaman melibatkan 23 anggota dari BBP Kota Bharu, Kota Darul Naim dan Pengkalan Chepa manakala operasi memadamkan kebakaran selesai sekitar jam 11.22 pagi.


