PEMANDU yang tular kerana memandu melawan arus di Jalan Klang Lama mengaku bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga hari bermula tarikh sabitan serta denda RM6,000.
Menurutnya, tertuduh juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, selain hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.
“Bagaimanapun, denda telah dijelaskan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berusia 32 tahun itu ditahan selepas tampil menyerah diri di pejabat JSPT Kuala Lumpur kira-kira jam 8.35 malam, susulan video tular memaparkan aksinya memandu melawan arus di Jalan Klang Lama.


