Fahmi Fadzil bersetuju menjadi penaung Sumud Nusantara – SNCC

MALAYSIA memperhebat usaha komunikasi strategik bagi mematahkan propaganda berkaitan konflik di Gaza dengan mengangkat peranan media sebagai teras utama dalam kempen nasional berskala besar melibatkan pelbagai platform penyiaran dan komunikasi.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pendekatan itu penting memandangkan konflik semasa bukan sahaja melibatkan peperangan fizikal, malah turut merangkumi perang psikologi dan propaganda yang mempengaruhi persepsi masyarakat, khususnya golongan muda.

Dalam usaha itu, beliau berkata, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersetuju menjadi penaung Sumud Nusantara kerana percaya bahawa naratif dan propaganda itu perlu dipatahkan dengan fakta.

“Bagi saya yang cukup mengharukan adalah beliau (Fahmi) bukan sahaja bersetuju untuk menjadi menteri penaung, tetapi lebih daripada itu. Seluruh Kementerian Komunikasi akan bersama dengan usaha ini untuk menyebar luas apa sahaja fakta termasuk mengadakan dua sidang media yang menggunakan air time (masa siaran) khas untuk disiarkan secara menyeluruh di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor merangkap ketua misi, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ahmad Sani berkata, usaha sedang giat dijalankan untuk menyediakan siaran langsung bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan misi kemanusiaan ke Gaza secara masa nyata, termasuk dari lokasi strategik seperti pintu sempadan Rafah.

Beliau berkata, perbincangan telah diadakan dengan Kementerian Komunikasi bagi melaksanakan siaran langsung majlis pelepasan misi berkenaan, selain meneliti kemungkinan untuk menyiarkan perkembangan dari pintu sempadan sekiranya mendapat kebenaran pihak berkuasa Mesir.

Inisiatif siaran langsung itu penting bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menyaksikan sendiri perjalanan misi kemanusiaan, serta merasai semangat solidariti bersama rakyat Palestin.

“Setelah berbincang dengan Kementerian Komunikasi, kita sedang usahakan untuk buat siaran langsung daripada majlis pelepasan, dan insya-Allah jika dibenarkan oleh kerajaan Mesir, kita juga akan buat siaran langsung dari pintu sempadan Rafah,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img