SALAH seorang anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, iaitu Asnida Abdul Daim akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas kesalahan berkaitan kegagalan mematuhi notis perisytiharan aset yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu disahkan peguamnya, Yu Ying Ying yang memaklumkan bahawa anak guamnya akan dituduh di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Jalan Duta.
“Ya, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) (Akta SPRM 2009) di Mahkamah Jalan Duta esok,” katanya ringkas kepada media hari ini.
Terdahulu, Asnida dilaporkan hadir memberi keterangan selama kira-kira lima jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas tiba pada jam 9.50 pagi.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius kegagalan tiga individu termasuk dua lagi anak Allahyarham Tun Daim, iaitu Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, yang tidak hadir memberi keterangan walaupun telah diarahkan melalui tiga Perintah Kehadiran Pemeriksaan bertarikh 13 Februari 2026, 11 Mac 2026 dan 6 April 2026.
Menurut SPRM, wakil guaman sebelum ini telah memberi komitmen bahawa kedua-dua individu terbabit akan hadir hari ini namun mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa alasan munasabah.
Turut gagal hadir tanpa alasan memuaskan ialah Josephine Premla walaupun telah diarahkan oleh SPRM.
Bagaimanapun, SPRM memaklumkan bahawa Asnida telah hadir dan memberikan kerjasama penuh, manakala Md Wira Dani Daim telah memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya.
Susulan ketidakpatuhan tersebut, SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan lanjut yang tegas, termasuk memulakan permohonan Notis Merah melalui polis antarabangsa (Interpol) serta bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menyekat dan memantau pergerakan keluar masuk serta status pasport individu yang terlibat.
Dalam masa sama, individu yang gagal mematuhi arahan itu bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 kerana ingkar Perintah Kehadiran Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.
SPRM turut menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi berkenaan tidak akan ditoleransi dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian.


