KIRA-kira 1.42 juta kilogram sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM187 juta dirampas menerusi Op Hazard 3.0 yang dijalankan serentak di beberapa negeri Isnin lalu bagi membanteras aktiviti pemprosesan sampah elektronik haram berskala besar.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi itu membabitkan serbuan ke atas 28 kilang di 14 lokasi sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Menurut beliau, operasi berkenaan turut merampas 2,000 kilogram barangan lusuh bernilai RM300,000, 11,000 kilogram produk akhir bernilai RM1.37 juta serta peralatan lain dianggarkan bernilai RM4.6 juta.
“Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 10 kompaun keseluruhan bernilai RM10,000 manakala Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan 11 kompaun bernilai RM22,000,” katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah PGA Cheras hari ini.
Beliau berkata, seramai 115 individu diperiksa sepanjang operasi itu dengan 56 daripadanya ditahan, kesemuanya warga asing terdiri daripada 31 warga Myanmar, 20 Bangladesh dan lima China berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Menurutnya, semua yang ditahan dipercayai bekerja di kilang terbabit dan kebanyakannya melibatkan kesalahan imigresen.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2021, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, kilang terbabit beroperasi antara dua hingga tiga tahun malah ada yang mempunyai lesen operasi namun kebanyakannya beroperasi secara haram.
“Kami percaya semua sisa e-waste ini dibawa masuk dari luar negara sebelum diproses di kilang-kilang terbabit.
“Setakat ini, pemilik premis dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan juga warga asing, namun tiada pemilik yang ditahan dalam operasi ini,” katanya.


