Polis tahan lelaki gangguan mental, rosakkan harta benda di Kota Belud

SEORANG lelaki yang dipercayai mengalami gangguan mental dan bertindak agresif sehingga mencederakan orang awam serta merosakkan harta benda di sekitar pekan Kota Belud ditahan polis petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi tujuan keselamatan awam serta tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, tindakan segera diambil susulan beberapa laporan diterima selain kebimbangan masyarakat terhadap tingkah laku individu berkenaan yang dipercayai boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Menurutnya, selepas ditahan, lelaki itu dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati individu berkenaan mempunyai rekod rawatan kesihatan mental di Hospital Kota Belud dan Hospital Mesra Bukit Padang.

“Semakan lanjut juga mendapati dia tidak mempunyai waris terdekat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga serta memantau keadaannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan yang diambil adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 yang membolehkan seseorang yang disyaki mengalami gangguan mental dan dipercayai boleh membahayakan diri sendiri, orang lain atau harta benda ditahan bagi tujuan pemeriksaan perubatan segera.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan lelaki berkenaan dipercayai bertindak agresif di sekitar pekan Kota Belud sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam dan premis perniagaan.

Lelaki itu juga didakwa mengganggu kemudahan awam termasuk merosakkan suis bekalan elektrik, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img