MASJID al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki Israel dibuka semula kepada umat Islam selepas penutupan 40 hari yang dikenakan Israel rentetan tindakan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (A.S.)-Israel terhadap Iran.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), masjid di Kota Lama Baitulmuqaddis itu dibuka semula ketika waktu subuh, sekali gus membolehkan ratusan umat Islam Palestin memasuki kompleks Al-Haram al-Sharif.
Ketika pintu pagar dibuka seiring laungan azan subuh, sejumlah besar jemaah bergegas memasuki kawasan berkenaan, dengan ramai dilihat mengalirkan air mata serta melakukan sujud syukur di halaman masjid.
Ratusan umat Islam berbaris untuk menunaikan solat subuh, menandakan solat berjemaah pertama di lokasi itu sejak ia ditutup.
Pada 6 April lalu, Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir terus mencetus provokasi dan kemarahan umat Islam dengan menceroboh kompleks berkenaan ketika ia masih ditutup.
Israel menutup sepenuhnya akses ke Masjid Al-Aqsa pada 28 Februari lalu, bertepatan dengan serangannya ke atas Iran, dengan hanya membenarkan kakitangan masjid serta pegawai Wakaf Islam Baitulmuqaddis menunaikan solat di lokasi itu, sementara rakyat Palestin lain terpaksa menunaikan solat di masjid-masjid kecil di seluruh bandar berkenaan.
Pihak berkuasa Israel turut menghalang solat sunat Aidilfitri daripada diadakan di Masjid Al-Aqsa tahun ini, menandakan sekatan pertama seumpamanya sejak Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur pada 1967.


