Tiada pembelian diesel murah di stesen minyak untuk syarikat korporat, industri

KERAJAAN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat korporat dan industri yang terbabit dalam aktiviti channel switching atau alih saluran dengan cara membeli minyak diesel di stesen minyak dengan harga yang jauh lebih murah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihak industri sepatutnya membeli bahan api terbabit secara terus melalui syarikat minyak.

Beliau berkata, bagi memastikan bekalan bahan api dalam negara terkawal, kerajaan meningkatkan usaha penguatkuasaan untuk membanteras penyeludupan dan penyelewengan.

“Ini termasuklah aktiviti yang dikenali sebagai channel switching, di mana korporat dan industri yang sepatutnya membeli minyak secara terus dari syarikat minyak pada harga pasaran secara diam-diam membeli harga pam.

“Harga pasaran RM7 hingga RM8 (selitar bagi industri) adalah lebih tinggi berbanding dengan harga diesel di stesen minyak pada RM6.72 yang sebahagian daripada kosnya masih lagi diserap oleh kerajaan,” katanya pada Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di Putrajaya, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, ketika ini kerajaan giat meningkatkan usaha penguatkuasaan termasuk bagi aktiviti channel switching bagi membanteras penyeludupan dan penyelewengan.

“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini untuk menghentikan aktiviti ‘channel switching’ atau berdepan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Amir Hamzah turut menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan rakyat yang melaporkan sebarang salah laku antaranya pembelian RON95 oleh kenderaan asing.

Jelas beliau, dalam keadaan dunia yang masih tidak menentu, kekuatan Malaysia terletak kepada kebersamaan, kesepakatan dan kesederhaaan dalam mendepani krisis yang masih belum berakhir.

“Kerajaan berterima kasih kepada rakyat yang melaporkan salah laku kepada pihak berkuasa seperti warga asing yang mengisi kereta mereka dengan RON95 serta aktiviti-aktiviti yang mencurigakan di stesen-stesen minyak dan di sempadan negara.

“Semangat kebersamaan inilah yang membantu kita dalam menghadapi krisis,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img