BEKAS wartawan sambilan Utusan Malaysia dan Ketua Wartawan Sinar Harian, Mohd Lazim Endut, 62, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Gong Beris, Marang hari ini.
Isterinya, Azimah Ismail, 56, berkata, dia menemui Allahyarham suaminya di bahagian belakang rumah kira-kira jam 1 petang ketika hendak menunaikan solat Zuhur.
Katanya, sebelum kejadian, Allahyarham sedang mengemas kawasan belakang rumah sebelum menunaikan solat Jumaat.
Allahyarham yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Azimah berkata, jenazah suaminya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Beris hari ini.
Beliau juga merupakan perintis yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar Sinar Harian pertama pada tahun 2006 dan berkhidmat sebagai Ketua Wartawan sehingga 2010.
Beliau adalah wartawan berpengalaman yang aktif membuat liputan isu politik, ekonomi dan sosial di Terengganu.
Selepas meninggalkan Sinar Harian, beliau berkhidmat sebagai pemberita sambilan di Utusan Malaysia dan Kosmo! biro Terengganu dari tahun 2010 hingga 2019.
Allahyarham yang aktif dalam Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) juga pernah menghasilkan skrip filem Debu-Debu Kasih lakonan Sham Visa dan Aida Aris yang diterbitkan pada 1995 dan menulis lirik lagu beberapa kumpulan popular 1990-an seperti Nafas Orang Kota nyanyian Ukays.
Selain mahir dalam laporan berita, Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang sangat meminati penulisan berbentuk puitis serta berbakat besar dalam menghasilkan skrip drama dan lirik lagu sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan.


