SEORANG lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di hadapan Kolej Poly-Tech Mara, Jalan Gambang di Kuantan awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi.
Menurutnya, pasukan penyelamat tiba pada jam 5.16 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira yang terbabas ke bahu jalan.
“Terdapat empat mangsa terlibat terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa.
“Seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi manakala dua lelaki mengalami kecederaan iaitu patah tangan kiri dan cedera di kaki manakala seorang perempuan dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Salahuddin memberitahu, pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan manakala identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat mangsa kemalangan terkawal pada jam 5.41 pagi dan ditamatkan sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.


