SATU video memaparkan seorang remaja mencampak blok bata dari tingkat atas sebuah pangsapuri tular dalam media sosial sejak semalam.
Berdasarkan klip video berdurasi 34 saat itu, seorang remaja lelaki dilihat berjalan di laluan pejalan kaki kediaman itu sebelum berhenti dan mengambil seketul bata di hadapan salah sebuah rumah.
Remaja itu yang memakai seluar hitam dan berbaju T merah kemudian meninjau keadaan sekitar sebelum mencampak bata terbabit ke aras bawah bangunan kediaman itu.
Sejurus itu, suara kedengaran seolah-olah orang bertempik dari bawah. Remaja terbabit dilihat tunduk di lantai selepas kejadian itu selama beberapa saat sebelum beredar.
Berdasarkan kapsyen disertakan, kejadian itu didakwa berlaku di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Desa Petaling.
Bata yang dicampak itu juga dikatakan mengenai seseorang menyebabkan mangsa cedera ringan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia benar atau tidak.
Berdasarkan klip video dipercayai ia diambil dari rakaman kamera litar tertutup, dengan tarikh tertera menunjukkan kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang semalam.
Sementara itu, jurucakap polis difahamkan memberikan maklum balas awal kepada media iaitu, `makluman awal tiada mangsa atau kecederaan mana-mana individu dalam kejadian ini, maklumat lengkap akan menyusul.’
Meneliti ruang komen, pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, sambil menyatakan objek yang jatuh boleh membawa maut kepada sesiapa sahaja di bawah.
Pada tahun 2018, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut apabila terkena sebuah kerusi yang dibaling dari tingkat 21 PPR Seri Pantai, Kuala Lumpur.


