KERAJAAN perlu membuat perancangan rapi dalam menentukan hala tuju negara sekiranya krisis global yang memberi kesan ekonomi kepada negara berlarutan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengalaman pentadbirannya ketika berhadapan krisis Covid-19 sebelum ini boleh dijadikan contoh apabila kerajaan pimpinannya ketika itu melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani kesan global.
Beliau berkata, antara perkara utama yang dilakukan ketika itu adalah memastikan rakyat tidak terasa terbeban dan mereka mempunyai cukup makanan untuk disediakan kepada keluarga masing-masing, walaupun dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, adalah menjadi perkara utama untuk Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat mempunyai makanan di atas meja sebagaimana yang dilakukan pimpinannya ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.
“Ketika itu kita pastikan rakyat tidak kebulur, mesti pastikan makanan dapat disalur dalam bentuk bantuan apa lagi pada waktu semuanya dalam keadaan agak tertutup dan tindakan diambil untuk meringankan beban rakyat.
“Apakah langkah seperti itu perlu diambil sekarang?. Saya kira kerajaan harus memberikan pertimbangan yang jelas dan tegas dalam bergerak ke depan khususnya ketika negara dirundung masalah akibat kesan ekonomi global agar ia tidak menjadi bencana buruk kepada negara,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan di Alor Setar malam tadi.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Salleh Saidin.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, semua pihak harus sedar bahawa situasi negara secara umum tidak baik dan Kerajaan Persekutuan berhadapan cabaran besar apabila berlaku pergolakan di Asia Barat.
Katanya, apa yang berlaku menyebabkan berlakunya krisis global yang menyebabkan kenaikan harga minyak dan kesan kepada kehidupan rakyat negara ini.
“Soal pokok yang berbangkit adalah pertanyaan kepada kerajaan apa yang boleh dilakukan untuk menentukan krisis yang sedang melanda negara dan antarabangsa itu dapat kita tangani.
“Perkara ini perlu diurus secara baik kerana ia akan menyentuh kumpulan masyarakat yang terasa tekanan hidup yang lebih sukar susulan kenaikan harga minyak serta kesan kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana, pertanian dan pelancongan.
“Oleh sebab itu menjadi tanggungjawab khususnya Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah ini, malah saya pernah suarakan ia tidak boleh dilakukan secara sambil lewa,” katanya.
Berikutan itu, beliau meminta Kerajaan Persekutuan memberikan jawapan cepat dan pantas dalam melaksanakan usaha bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terkesan.
“Saya pernah menyuarakan usaha menangani krisis seperti ini tidak boleh dilakukan sambil lewa atau bertindak atas masa tertentu kerana apabila kita berhadapan krisis, kita perlu mengambil kira apa sahaja boleh berlaku.
“Yang penting kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dibuat secara rapat dan saling membantu supaya situasi dialami negara dapat ditangani dan kesannya tidak terkena secara purata kepada rakyat terutama mereka di luar bandar,” katanya.


