SEORANG lelaki bertindak nekad menyorok di luar tingkap tingkat 13 sebuah kondominium bagi mengelak ditangkap khalwat oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Kota Laksamana, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi apabila Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JAIM melakukan pemeriksaan di sebuah unit kediaman susulan aduan orang awam.
Menurut sumber, ketika serbuan dibuat, pintu rumah berkenaan pada awalnya tidak dibuka sebelum seorang wanita berusia 25 tahun yang bekerja di sektor swasta akhirnya membenarkan pemeriksaan dilakukan.
“Wanita itu mendakwa berada seorang diri dan pemeriksaan awal di dalam rumah serta kawasan koridor tidak menemukan individu lain.
“Namun pemeriksaan lebih teliti di bahagian luar tingkap menggunakan lampu suluh menemukan seorang lelaki tidak berbaju sedang bersembunyi di bawah kompresor pendingin hawa,” kata sumber itu.
Menurutnya, tindakan lelaki berusia 26 tahun itu amat berbahaya kerana berada di luar bangunan pada ketinggian bahaya dan berisiko terjatuh.
Kata sumber itu, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan adalah seorang eksekutif pemasaran yang sudah berkahwin, namun dalam proses perceraian, manakala wanita terbabit masih bujang.
Hasil pemeriksaan penguat kuasa kemudian mendapati kedua-duanya mengaku tidak mempunyai hubungan suami isteri.
“Kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.


