SEORANG lelaki dan anaknya berusia empat tahun cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berhampiran Bonda Coconut Shake, Sungai Ara di Bayan Lepas hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki dua beranak sebelum itu terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Kedua-dua mangsa dikatakan tercampak ke dalam longkang besar berhampiran lokasi kejadian manakala motosikal yang ditunggang mengalami kerosakan.
Kereta Perodua Bezza terbabit turut terbabas sebelum masuk ke dalam longkang sama.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kedua-dua mangsa ditemukan dalam longkang ketika Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi.
“Penunggang motosikal yang berusia 39 tahun bersama anak lelakinya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu kereta bagaimanapun tiada di lokasi semasa pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut John Sagun, pasukan bomba yang bertugas di lokasi menjalankan ‘size up’ sebelum memberikan rawatan awal kepada mangsa melalui pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi yang melibatkan sembilan anggota bersama dua jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS itu tamat sepenuhnya pada jam 8.41 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.
Turut berada di lokasi adalah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu pengurusan kes.


